♥UKHUWAH♥

October 26, 2010

WANITA DI SISI LELAKI



Betapa pentingnya wanita di sisi lelaki, tidak seorang pun dapat nafikan. Apa tidaknya, lelaki akan terasa sunyi hidupnya tanpa wanita. Inilah hakikatnya.

Jangan katakan lelaki biasa, Nabi juga terasa sunyi tanpa wanita. Hati, fikiran, dan perasaan lelaki akan menjadi resah tanpa kewujudan wanita di sisinya. Masih tetap mencari walaupun sudah ada segala-galanya. Jika difikirkan, apa lagi yang masih kurang dan tidak ada di dalam syurga, tetapi Nabi Adam AS tetap juga rindukan Siti Hawa.

Kepada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri atau puteri. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki, tetapi kalau lelaki sendiri yang tidak lurus, maka dia tidak akan mampu untuk meluruskan mereka. Tidak logik kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus.

Justeru itu, luruskanlah wanita dengan cara yang sebenarnya, iaitu cara yang ditunjukkan Allah, kerana mereka itu dicipta sebegitu rupa oleh-Nya. Didiklah mereka dengan panduan dari-Nya.

Jangan cuba jinakkan mereka dengan harta,
nanti mereka semakin liar,
jangan hiburkan mereka dengan kecantikan,
nanti mereka semakin menderita...

Sesungguhnya yang sementara itu (harta kekayaan juga kecantikan) tidak akan menyelesaikan masalah. Sebaliknya, kenalkanlah mereka kepada Allah, zat yang kekal, di situlah kuncinya.

Akal setipis rambut, tebalkan dengan ilmu.
Hati serapuh kaca, kuatkan dengan iman.
Perasaan selembut sutera, hiasilah dengan akhlak.

Suburkanlah kerana dari situlah nanti mereka akan nampak kebesaran Tuhan. Akan terhibur dan berbahagialah mereka walaupun tidak menjadi ratu cantik dunia, presiden ataupun perdana menteri.

Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukanlah satu kelemahan. Sebaliknya di situlah kasih sayang Tuhan, kerana rahim wanita yang lembut itulah yang mengandungkan lelaki-lelaki pelbagai wajah: negarawan, karyawan, jutawan dan sebagainya.

Wanita yang lupa hakikat kejadiannya pasti tidak terhibur dan tidak menghiburkan. Tanpa ilmu, iman dan akhlak, mereka bukan saja tidak boleh diluruskan, bahkan mereka pula membengkokkan. Apabila wanita menjadi derhaka, maka dunia akan menjadi huru-hara. Apabila tulang rusuk patah, maka rosaklah jantung, hati dan limpa.

Para lelaki pula, janganlah hanya mengharap ketaatan, tetapi binalah kepimpinan. Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Allah, pimpinlah diri sendiri terlebih dahulu kepada-Nya. Jinakkan diri dengan Allah, nescaya jinaklah segala-galanya di bawah kepimpinan anda.


JANGAN MENGHARAP ISTERI SEPERTI SITI FATIMAH
KALAU PERIBADI BELUM LAGI SEPERTI SAYIDINA ALI

No comments: