♥UKHUWAH♥
November 1, 2010
PAGAR DIRI DAN RUMAH MENURUT AL-QURAN DAN SUNNAH
Oleh Ustazah Sakinah Saptu
Kuliah Muslimah (020609) @ Masjid Darul Ghufran
PAGAR DIRI
(1) Membaca:
لاَ إِلٰهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ, لهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ.
Maksudnya: Tidak ada ilah (tuhan) selain Allah yang maha Esa, tidak ada sekutu bagiNya. BagiNya kerajaan dan bagiNya segala puji. Dan Dia maha berkuasa atas segala sesuatu.
* Siapa yang membacanya 100x dalam sehari, maka baginya pahala seperti memerdekakan sepuluh orang hamba, ditulis seratus kebaikan, dihapus darinya seratus keburukan, baginya perlindungan dari syaitan pada hari itu hingga petang hari. (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim).
(2) Membaca:
بِسْمِ اللهِ الَّذِيْ لاَ يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌٌ فِي الأَرْضِ وَلاَ فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ.
Maksudnya: Dengan menyebut nama Allah yang namaNya tidak ada sesuatu pun yang membahayakan, sama ada di bumi atau di langit. Dialah yang maha mendengar dan maha mengetahui.
*Sesiapa yang membacanya 3x di waktu pagi dan petang, maka tidak ada sesuatu pun yang membahayakan dirinya. (Hadith Riwayat al-Tirmizi) – Hukum hadith: Sahih
(3) Membaca Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah al-Nas
* Siapa membaca 3 surah tersebut setiap pagi dan petang sebanyak 3 kali, maka cukup baginya dari segala sesuatu (dapat mencegahnya dari pelbagai kejahatan). (Hadith Riwayat Abu Daud, al-Nasai dan al-Tirmizi) – Hukum Hadith: Sahih.
• Dalam riwayat yang lain: Nabi s.a.w telah bersabda kepada Ibn Abi al-Juhani: Inginkah kamu aku beritahu tentang sebaik-baik apa yang digunakan untuk pendinding bagi mereka yang meminta perlindungan?. Beliau menjawab: Mahu, wahai Rasulullah. Lalu baginda bersabda: Qul a’uuzubi rabbil falaq dan qul a’uuzubi rabbin naas” (Hadith Riwayat al-Nasa’I, Ahmad dan al-Baihaqi)-Hukum hadith: Sahih.
• Dalam riwayat yang lain lagi: Nabi s.a.w ketika berada di tempat tidurnya setiap malam, baginda merapatkan kedua telapak tangannya kemudian meniupnya seraya membaca di kedua telapak tangannya itu: Qul huwallahu ahad, Qul a’uuzubirabbil falaq dan Qul a’uuzubirabbin naas. Lalu baginda mengusapkan kedua belah telapak tangannya ke badannya sejauh yang boleh dijangkau. Baginda memulakannya dari atas kepala dan wajahnya serta bahagian depan badannya. Baginda melakukan hal ini 3 kali. (Hadith riwayat al-Bukhari)
(4) Membaca ayat al-Kursi (Surah al-Baqarah: 255)
* Siapa yang membaca ayat ini di waktu pagi, maka ia dilindungi dari (gangguan) jin hingga ke waktu petang. Dan siapa yang membacanya ketika di waktu petang, maka dia dilindungi dari (gangguan) jin hingga ke waktu paginya. (Hadith Riwayat al-Hakim) – Hukum Hadith: Sahih.
(5) Membentengi diri dengan banyak membaca bermacam-macam do’a, serta zikir-zikir yang
disyariatkan sesuai dengan sunnah Nabi s.a.w yang sahih.
Antaranya:
(1) أَعُوْذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّةِ، مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ، وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّةٍ.
Maksudnya: “Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari setiap syaitan, binatang berbisa dan dari setiap mata yang jahat” (H.R al-Bukhari dalam kitab sahihnya)
(2) أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ.
Maksudnya: “Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari kejahatan makhluk-Nya”. (H.R Muslim dalam kitab sahihnya)
(3) أعُوذُ بِكَلِمَاتِ الله التَّامَّاتِ مِنْ غَضَبِهِ وَعِقَابِهِ وشَرِّ عِبَادِهِ، ومِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ وأَنْ يَحْضُرُونِ.
Maksudnya: “Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari kemurkaan dan siksaan-Nya, dari kejahatan hamba-hamba-Nya, dari godaan syaitan dan dari kedatangan mereka kepada ku” (H.R al-Tirmizi – Hukumnya: sahih di dalam kitab Sahih al-Jami, No 701)
(4) أَعُوْذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ الَّتِيْ لاَ يُجَاوِزُهُنَّ بَرٌّ وَ لاَ فَاجِرٌ ، مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ وَ ذَرَأَ وَ بَرَأَ ، وَ مِنْ شَرِّ مَا يَنْزِلُ مِنَ السَّمَاءِ ، وَ مِنْ شَرِّ مَا يَعْرُجُ فِيْهَا ، وَ مِنْ شَرِّ مَا ذَرَأَ فِيْ الأَرْضِ ، وَ مِنْ شَرِّ مَا يَخْرُجُ مِنْهَا ، وَ مِنْ شَرِّ فِتَنِ الْلَيْلِ وَ النَّهَارِ ، وَ مِنْ شَرِّ كُلِّ طَارِقٍ إِلاَّ طَارِقًا يَطْرُقُ بِخَيْرٍ يَا رَحْمَانُ.
Maksudnya: “Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna yang tidak dapat ditembus oleh orang baik ataupun orang jahat, dari kejahatan apa yang telah Dia jadikan dan Dia ciptakan. Serta dari kejahatan yang turun dari langit, dari kejahatan yang tenggelam ke bumi, dari kejahatan yang keluar dari bumi, dari kejahatan fitnah malam dan siang, dari kejahatan setiap yang datang (di waktu malam), kecuali yang datang dengan tujuan baik, wahai Tuhan yang maha pemurah” (H.R Ahmad Ibn Hanbal dalam Musnadnya. Hukumnya: Sahih dalam kitab sahih al-Jami’, No. 74)
MEMBENTENGI RUMAH
(1) Mengucapkan salam ketika memasuki rumah
* Firman Allah s.w.t yang bermaksud: Maka apabila kamu memasuki (suatu rumah dari) rumah- rumah (ini) hendaklah kamu memberi salam kepada (penghuninya yang berarti memberi salam) kepada dirimu sendiri, salam yang ditetapkan dari sisi Allah, yang diberi berkat lagi baik. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayatnya(Nya) bagimu, agar kamu memahaminya. (al-Quran, al-Nur: 61)
(2) Mengingati Allah Ketika Masuk Rumah dan Makan
* Dari Jabir r.a berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang masuk ke rumahnya dan dia mengingati Allah ketika masuk itu dan juga ketika dia makan, syaitan berkata: “Aku tidak makan dan tidak menginap di tempatmu”. Jika dia masuk ke dalam rumah dan tidak mengingati Allah, syaitan berkata: “Aku boleh menginap”dan jika tidak mengingati Allah ketika makan pula, syaitan berkata:” Aku boleh bermalam dan makan malam”(Hadith Riwayat Muslim)
(3) Mensucikan rumah dari gambar dan patung
* Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya rumah yang terdapat gambar di dalamnya tidak akan dimasuki malaikat. (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
• Dalam riwayat yang lain: Baginda s.a.w bersabda: Tidaklah malaikat masuk ke dalam sebuah rumah yang ada di dalamnya patung-patung atau gambar-gambar. (Hadith Riwayat Muslim)
(4) Memperbanyakkan solat Sunnat di rumah
* Dari Ibn Umar r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: Jadikanlah solat-solat sunnat mu di rumah-rumah kalian dan janganlah jadikan rumah kalian itu sebagai kubur. ( Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
(5) Memperbanyakkan Membaca al-Quran di rumah
Imam muslim meriwayatkan dengan lafaz sebagai berikut:
“Perumpamaan rumah yang disebut nama Allah dan tidak disebutkan nama Allah padanya, laksana orang yang hidup dengan orang yang mati”
• Membaca surah al-Baqarah di dalam rumah
* Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Janganlah kalian jadikan rumah-rumah kalian seperti kuburan, kerana sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibacakan padanya surah al-Baqarah” (H.R Muslim)
• Di dalam riwayat yang lain: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“….Bacalah surah al-Baqarah kerana sesungguhnya mengambilnya adalah barakah, meninggalkannya adalah kerugian dan ahli sihir tidak mampu untuk mengalahkannya” (H.R Muslim)
Untuk melihat nota asalnya, sila klik pautan ini: http://www.docstoc.com/docs/46022399/Pagar-Diri
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment